Warna Kehidupan: Lepak di kafe francais
Oleh Nurul Farina Nazlan
nfarina@bharian.com.my
Amalan biasa pelajar, korporat dan profesional
SENARIO lepak di kafe francais seperti Starbucks, Old Town White Coffee dan Coffee Bean kini menjadi suatu perkara biasa kerana restoran seperti ini beroperasi sehingga larut malam terutama di sekitar Lembah Klang dengan sebahagian pengunjung melakukan pelbagai urusan rasmi dan tidak kurang sekadar minum sambil berbual.
Isu lepak di kafe francais juga pernah hangat diperdebatkan pada Jun tahun lalu, apabila Pengarah Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Noor Nirwandy Mat Noordin, dalam satu kenyataan menyifatkan ia bertentangan dengan budaya masyarakat negara ini selain boleh menggalakkan pelajar untuk membuang masa.
Pengerusi Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Arifin Zainal, melihat budaya lepak di kafe francais sebagai sesuatu yang normal dalam masyarakat kerana pada zaman 70-an hingga 90-an, masyarakat juga melakukannya di kedai kopi.
“Dalam Teori Maslow, manusia mempunyai pelbagai keperluan dalam aspek kehidupan mereka dan lepak dikatakan keperluan sosial kerana ia satu daripada konsep interaksi sesama manusia, tetapi tempat pertemuan bergantung kepada ekonomi masyarakat di sesuatu kawasan itu,” katanya ketika ditemui Sastera di Bangi, baru-baru ini.
Beliau yakin bahawa kewangan tidak lagi menjadi faktor utama untuk mereka yang ‘terikat’ dengan budaya ini kerana
masyarakat negara ini terutama yang menetap di bandar, berpendidikan tinggi dan mempunyai pendapatan stabil sehingga lokasi untuk melakukan aktiviti dan komunikasi secara santai lebih penting.
“Faktor budaya lepak gaya baru ini sedikit sebanyak menggambarkan keadaan ekonomi negara yang semakin meningkat dan malahan, golongan berusia seperti saya akan ke tempat sedemikian dengan sesetengah daripada kami membawa keluarga bersama dalam mencari kelainan,” ujarnya.
Tidak ketinggalan, Dr Arifin melihat pemilihan lokasi kafe francais dapat memenuhi keperluan sosial, psikologi dan keperluan penghargaan kendiri seseorang individu untuk meningkatkan imej mereka tanpa niat menunjuk-nunjuk kerana ia adalah ganjaran dan ukuran nilai harga diri mengikut perubahan persekitaran.
Pandangan beliau disokong Jurutera Reka Bentuk Elektronik, Astronautic Teknologi (M) Sdn Bhd (ATSB), Zulkifli Abdul Aziz yang cenderung memilih lokasi lepak di kafe francais atas faktor kebersihan, layanan, suasana tenang dan santai berbanding restoran biasa.
“Dalam seminggu, tiga hingga empat kali saya dan rakan bertemu di Old Town White Coffee berbanding restoran francais lain kerana menu ditawarkan pada harga berpatutan. Malah, saya memperuntukkan RM100 sebulan bagi tujuan ini. Ia aktiviti alternatif apabila saya dan rakan ingin berbincang, apabila tiada sebarang aktiviti sukan pada hujung minggu,” ujarnya.
Zulkifli tidak menafikan kebiasaan sedemikian di kalangan anak muda akan berkurangan mengikut keadaan terutama apabila mereka sudah berkeluarga dan mempertahankan budaya lepak di kafe francais di kalangan pelajar jauh lebih baik daripada terbabit dalam aktiviti sosial yang tidak sihat.
Rakan setugasnya, Jurutera Kapal Angkasa ATSB, Mohamad Nazree Dol Bahar, mula berjinak-jinak di kafe francais sebagai lokasi untuk merehatkan minda dan berinteraksi dengan rakan sekumpulan, ketika melanjutkan pengajian di United Kingdom.
Graduan Ijazah Elektronik dan Komunikasi, Universiti of Leeds, menjadi ‘ketagih’ dengan kebiasaannya itu kerana kafe francais menyediakan kemudahan wi-fi dan faktor terbabit diyakini merancakkan kunjungan masyarakat terutama pelajar ke pusat ‘lepak’ sedemikian bagi mencari bahan rujukan.
“Saya menjadikan kafe francais sebagai alternatif bagi menenangkan diri kerana suasananya santai dan lagu yang diputarkan berentak perlahan. Lokasi sedemikian menjadi pilihan saya dan rakan setugas terutamanya pada hujung minggu kerana pada hari bekerja, kami hanya makan di restoran berdekatan pejabat.
Wednesday, November 11, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment